Saturday, April 18, 2009

PILIHANRAYA, PRIVASI PENGGUNA & INTEGRITI SYARIKAT TELEKOMUNIKASI


Beberapa hari lepas, saya mengikuti pembentangan analisis pilihanraya oleh seorang pensyarah IPT.

Apa yang menarik ialah beliau menyenaraikan teks SMS yang dihantar oleh seorang calon pilihanraya kecil Bukit Gantang kepada pengundi-pengundi di kawasan itu.

Sebelumnya, beliau menyebut mengenai seorang calon pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang menghantar SMS kepada 40,000 orang pengundi di situ.

Saya terfikir: Bagaimanakah parti itu mendapat senarai nombor telefon sebanyak 40,000? Ia bukanlah satu jumlah yang kecil. Adakah ia dikutip oleh sukarelawan parti dari pengundi atau ia diperolehi melalui syarikat pembekal telekomunikasi?

Sewaktu kempen PRU12 lalu, saya menerima tiga SMS dari seorang calon pilihanraya DUN Meru dan satu voice message dari seorang pemimpin politik nasional.

Tentunya sebagai pengguna Celcom, saya berhak untuk bertanya dan mendapat jaminan bahawa syarikat itu tidak memberikan nombor handphone saya kepada pihak ketiga tanpa kebenaran saya.

Sekiranya Celcom (atau mana-mana pembekal syarikat telekomunikasi seperti Maxis atau Digi) berbuat begitu, maka kita boleh mempersoalkan integriti syarikat tersebut.

Kalau ia boleh memberikan nombor tersebut kepada pihak ketiga, maka sebagai pengguna saya tidak lagi berasa selamat untuk berkongsi data peribadi dengan syarikat itu. Hak saya sebagai pengguna dicerobohi.

Saya tidak ada halangan sekiranya Celcom memberikan maklumat itu kepada sesebuah agensi kerajaan berdasarkan peruntukan undang-undang, tetapi tidak kepada sebuah parti politik.

Sementara saya adalah seorang advokat kepada penggunaan teknologi dan media baru, namun saya tidak fikir ia harus dilakukan dengan mengorbankan privasi seorang pengguna, walaupun undi kita amat berharga!

No comments:

Post a Comment