Sunday, April 19, 2009

Apabila wajah menteri jadi model iklan




Saya kurang pasti berapa kos sebenar untuk membangunkan sebuah papan iklan besar yang tersergam di tepi lebuh raya atau jalan-jalan utama di negara kita. Bagaimanapun saya menjangka harganya sudah tentu bukan murah, pastinya mencecah ribu-ribu, mungkin puluhan ribu setiap satu.

Dan apabila iklan itu berkaitan dengan promosi atau kempen kerajaan, sudah pasti kerajaanlah yang mengeluarkan wang.

Sejak lama dahulu, saya sering terfikir, apakah wajar wang kerajaan (baca: wang rakyat) dibelanjakan untuk tujuan yang secara tidak langsung atau terselindung, adalah dengan maksud untuk membina populariti seseorang ahli politik.

Melihat pada zahirnya, itulah yang telah berlaku apabila papan iklan besar (billboard) yang sepatutnya hanya bertujuan untuk mempromosi destinasi pelancongan di negara kita, turut memaparkan wajah menteri yang berkenaan selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Saya bukan semata-mata mengambil kira perlu atau tidak wajah mereka dipaparkan pada papan iklan itu kerana saya kira, siapa pun tentunya anggap tidak perlu namun yang menjadi persoalan ialah pembaziran yang pastinya akan berlaku apabila papan iklan besar yang dibangunkan dengan kos yang juga besar itu terpaksa ditukar apabila menterinya bertukar.

Kiralah berapa banyak lagi wang kerajaan (baca: wang rakyat) yang terpaksa dikeluarkan untuk mengganti papan-papan iklan ini di seluruh negara apabila menteri yang wajahnya dipapar pada papan iklan itu tidak lagi menjadi menteri. Itulah yang berlaku pada hari ini dan belanja untuk menggantikan papan iklan itu mungkin mencecah juta RM banyaknya.

Papan iklan itu dengan sendirinya akan sah dan laku dalam tempoh yang lama jika tidak kerana ada wajah yang sudah tidak lagi menjadi menteri, dipaparkan di situ. Jika bukan kerana itu, berapa banyak wang kerajaan (baca: wang rakyat) dapat dijimatkan!

Jika saya sendiri sudah beberapa lama berfikir begitu setiap kali, sudah tentu ramai orang lain juga begitu. Jika populariti yang diharapkan oleh menteri berkenaan, ketahuilah olehnya bahawa kesan yang berlaku adalah sebaliknya. Rakyat menjadi semakin curiga dan mungkin juga meluat apabila wang negara dibazirkan dengan sewenang-wenangnya untuk satu tujuan yang sememangnya tidak perlu. Tidak perlu kerana tidak ada pelancong yang melawat ke satu-satu negara kerana terpikat dengan wajah menterinya!

Rupa-rupanya rasa tidak puas hati dengan papan iklan yang seperti itu bukan sahaja mencarik hati rakyat banyak malahan oleh Perdana Menteri sendiri. Jika tidak, masakan Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet buat kali pertama, kelmarin, mempersoalkan kewajaran diletakkan potret beliau dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi selain menteri yang berkenaan pada papan iklan promosi pelancongan.

Secara peribadi saya menganggap, jika usaha mencari populariti atau politik yang menjadi motif pengiklanan seperti itu dengan menggunakan wang kerajaan (baca: wang rakyat), ini juga merupakan satu bentuk penyelewengan. Usahlah berlebih-lebihan jika mahu memenangi hati rakyat!

No comments:

Post a Comment