Wednesday, February 11, 2009

Kelantan laksana cuti awal sebelum bersalin


KOTA BHARU, 11 Feb (Hrkh) - Kelantan sekali lagi merintis usaha ke arah negeri berkebajikan apabila bercadang memberi cuti bergaji kepada kakitangan kerajaan negeri yang akan bersalin.Cuti tersebut akan diberi selama tujuh hari menjelang tarikh jangkaan bersalin.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Dato' Husam Musa berkata, kakitangan kerajaan negeri yang akan bersalin bakal mendapat cuti tujuh hari lebih awal sebelum tarikh bersalin supaya mereka dapat rehat secukupnya.

"Dengan ada kemudahan itu mereka berpeluang pulang lebih awal ke kampung atau dapat berehat sebelum tarikh bersalin.

"Bebanan yang terpaksa ditanggung ibu di saat-saat akhir sebelum melahirkan anak sebenarnya memerlukan pengorbanan dari sudut perasaan dan mental," katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini.

Bagaimanapun katanya, cuti bersalin tersebut masih di peringkat cadangan dan Setiausaha Kerajaan Negeri akan membuat kajian secara lebih terperinci.

"Apabila kertas cadangan itu siap nanti, ia akan dibawa kepada mesyuarat Exco sebelum diputus untuk dilaksanakan," ujarnya.

Beliau juga berkata, cuti bersalin di Kelantan masih kekal selama 60 hari.

Dalam perkembangan lain, Husam berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan mengurangkan jumlah pampasan kepada pencarum Takaful Kifaalah daripada RM2,500 kepada RM1,500 berkuat kuasa serta merta.

Katanya, keputusan itu dibuat ekoran kelembapan ekonomi global yang turut tempias ke negara ini sekarang.

"Kerajaan bersetuju mengurangkan bayaran berkenaan sebagai langkah berjimat cermat, memandangkan kesannya turut terpias ke negeri ini..

"Sehingga kini kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM18 juta kepada pencarum skim berkenaan sejak ia diperkenalkan dua tahun lalu," katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri bersetuju meningkatkan bayaran bagi bantuan am kepada RM150 berbanding RM90 sebulan sebelum ini dengan peruntukan tambahan sebanyak RM1.6 juta.

Husam berkata, hasrat kerajaan negeri meningkatkan kadar bayaran kebajikan memandangkan kos sara hidup sekarang semakin meningkat.

No comments:

Post a Comment