Friday, March 27, 2009

Khairi Menanti Nasruddin


"Pemuda Umno telah mendapat ketua baru. Di satu sudut bangunan Umno, pengumuman kemenangannya diiringi laungan ‘KJ rasuah’ dan ‘pergaduhan kecil’. Seketika kemudian, semua yang berlaku itu seolah-olah tidak terkesan kepadanya apabila dia mampu menyampaikan ucapan dengan bertenaga dan bernas.

Dia dilihat bersedia berhadapan cabaran. Walau pun pernah dilabelkan sebagai beban Umno, nampaknya dia berusaha keras membuktikan sebaliknya. Usahanya menjatuhkan Kelantan dalam PRU yang lalu meletakkannya dalam situasi defensif. Namun, berbekalkan kemudaannya dari segi usia, ketrampilan dan gaya berbanding dua lagi saingannya yang tewas, dia dirasakan mampu menyuntik semangat baru kepada pemuda Umno.

Saya setuju dengan MSO, bahawa kemenangan Khairi adalah cabaran baru kepada Pemuda Pas.

Sallehudin sudah pasti melepaskan jawatannya Jun ini. Timbalannya sekarang ialah Nasrudin Hasan, orang Pahang dan lulusan al-Azhar. Juga pernah belajar di Kelantan dan Syria. Nasrudin dianggap ‘klon’ Abdul Hadi Awang dalam gaya pidatonya. Dia juga berpakaian ala Presiden Pas itu.

Nasrudin boleh disifatkan individu yang digilap oleh Salehudin. Dia melangkau Mazlan Aliman, Timbalan Ketua Pemuda Pas sesi lalu. Bekas Ketua Pemuda Pahang ini memang seorang yang gigih dan melalui pengalaman tarbiah Pas yang wajar.

Sehingga kini, nampaknya tiada nama lain yang terlintas sebagai pengganti Salehudin kecuali dia.

Khairi pasti akan menyerang Pas. Boleh jadi serangan awalnya adalah kepada pemuda. Salah satu cara yang boleh dimanfaatkan untuk membuktikan kebolehan dan keberaniannya ialah mencabar untuk berdebat. Tidak mustahil, sebagaimana dia bersedia berdebat dengan Khir Toyo dan Mukhriz, malah sanggup berhadapan dengan Husam Musa di Kelantan, dia juga akan mencabar Nasrudin untuk berdebat.

Saya pasti dia sanggup untuk isu apa saja, negara Islam, pemerintahan satu parti, perwakilan berkadar di parlimen, pemisahan kuasa dalam pentadbiran, isu hudud dan banyak lagi. Dia bukan seperti Hishamudin yang sentiasa menikus dengan ajakan debat.

Penting sangat Nasrudin menghadamkan isu-isu itu semua. Saya kira Nasrudin tidak akan kering idea dan hujah untuk isu-isu seperti negara Islam, hudud atau isu-isu agama yang lain kerana itu bidangnya, tetapi dalam masa yang sama Nasrudin perlu hadam juga isu-isu kontemporari yang lain supaya keghairahan Khairi untuk meratahnya dalam debat, kalau berlaku, tidak akan kesampaian.

Dari segi gerak kerja politik pula, Khari memang seorang yang tangkas. Lihat, dalam keadaan dia disabitkan rasuah pun dia masih boleh menang. Serangannya kepada Kelantan dalam PRU yang lalu menarik tumpuan khusus Pas untuk berdepan dengannya. Dia menggerakkan secara berkesan jentera Umno untuk menarik orang Kelantan yang berada di luar Kelantan untuk balik ke Kelantan dan mengundi BN. Soal orang yang balik dalam programnya dan tidak mengundi BN itu isu lain, tetapi usahanya itu yang sepatutnya menjadi isu.

Justeru, Nasrudin perlu setanding Khairi dalam keupayaan ini. Keupayaan merencana dan menggerakkan jentera dengan berkesan. Semua itu memerlukan skil yang tersendiri di samping keupayaan kewangan yang memadai. Saya percaya ini semua telah ada dalam kotak fikiran Nasrudin untuk diterjemahkan dalam bentuk aksi bila sampai masanya.

Apa pun, siapa pun Khairi, sehebat mana pun dia, satu hakikat yang pasti ialah, dia di dalam Umno. Sementelahan dia sendiri pun berselut rasuah, ketuanya, bakal PM juga tidak bebas daripada selut itu. Turut terpalit pekat pada imej bakal PM juga ialah selut pembunuhan Altantuya.

Selut-selut busuk itu sudah sebati dengan Umno. Hari ini harapan orang untuk melihat Umno pulih lebih rendah peratusannya berbanding harapan orang supaya Umno lingkup. Kalau ada orang yang berkecuali dalam politik pun sanggup menutup TV apabila melihat wajah Najib muncul, mustahilkah kebencian itu tidak diterjemah dalam peti undi?

Khairi hanya mengetuai sayap Umno, kalau ibarat burung. Mengetuai ranting Umno sahaja kalau ibarat pokok. Justeru, apa guna sayap yang kuat, atau ranting yang teguh kalau jasad burung dan perdu pokok sudah berulat.

Dengan demikian, Nasrudin tidak perlu bimbang apa-apa. Apatah lagi yang didokong adalah Islam berbanding Umno yang tidak jelas apa yang didokong walau pun slogannya adalah demi agama, bangsa dan negara.

Kenapa? Kerana mereka akan terus bekerja demi perut, pangkat dan harta.

No comments:

Post a Comment