Friday, March 13, 2009

Enam didakwa menghina Sultan Perak hari ini


PETALING JAYA: Seramai enam individu akan didakwa di mahkamah hari ini kerana menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam blog masing-masing.

Mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Kota Kinabalu dan Butterworth di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutlimedia 1998 kerana perbuatan menyiarkan " isi kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat mengacau, mendera, menggugut atau mengganggu".

Sementara itu, dua lagi individu akan didakwa dibawah tuduhan yang sama di Terengganu Ahad ini.

Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya.

Ini adalah kali pertama individu didakwa di bawah seksyen tersebut.

Difahamkan, pada 16 Februari beberapa orang pegawai eksekutif Teknologi Maklumat yang bekerja di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas membaca komen yang menghina Sultan Perak dalam blog tersebut.

Mereka didakwa menyiarkan komen yang menghina Sultan berhubung krisis politik di negeri tersebut.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada antara mereka yang akan didakwa itu terbabit dalam perbuatan memutuskan pautan ke lamanweb diraja Perak.

SKMM telah membuat laporan polis berhubung isu tersebut di Unit Multimedia dan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan pihak polis sedang menyiasat kes tersebut.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan pegawainya akan mendakwa enam orang di Mahkamah esok.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut.

No comments:

Post a Comment