Saturday, February 14, 2009

Pertandingan Mendaki Dua Bukit

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) nampaknya mengalami cabaran yang lebih besar jika dibandingkan dengan dua rakannya dalam gagasan tidak rasmi Pakatan Rakyat pada akhir-akhir ini.

Dua Ahli Dewan Undangannya di Perak – Jamaluddin Mohd Razdi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) – keluar parti dan mengikrarkan sokongan kepada Barisan Nasional.

Turut keluar parti ialah Hee Yit Foong, Adun DAP bagi kawasan Jelapang. Akibat tindakan mereka itu tumbanglah kerajaan PR Perak.

Jamaluddin dan Mohd Osman kedua-duanya sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah.

Hendak jadi cerita, tak sampai 10 hari kemudian, Adunnya bagi kerusi Bukit Selambau, Kedah, V Arumugam pula meletakkan jawatan sebagai Ahli Exco kerajaan PR Kedah dan serentak itu melepaskan kerusinya.

Kemudian, pada ketika parti-parti PR sedang hangat mempertikaikan pembentukan kerajaan BN di Perak, Ahli Parlimen Pas bagi kawasan Bukit Gantang, Roslam Shahrum, meninggal dunia.

Ada orang mengumpamakan kejadian-kejadian ini sebagai sudah jatuh ditimpa tangga dan ada pula yang mengatakan pucuk dicita ulam mendatang.

Apa pun andaian umum, pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau yang akan diadakan pada 7 April ini menjanjikan pertandingan sengit serta penuh erti bagi BN dan PR.

Bagi PR, dua pilihan raya kecil ini boleh dijadikan medan untuk menguji ketepatan dakwaan dan andaian bahawa rakyat jelata, khasnya di Perak, mahu DUN Perak dibubarkan dan pilihan raya baru diadakan.

Kalau pengundi Bukit Gantang dan Bukit Selambau berpendirian yang sama, mereka tentulah akan menyokong calon-calon yang mewakili parti-parti PR apatah lagi dua kerusi ini adalah kerusi PR.

Yang menarik untuk diperhatikan adalah pendirian parti-parti PR sendiri selepas kejatuhan kerajaan PR Perak. Khasnya mengenai kerjasama dan perpaduan di kalangan mereka.

Portal berita bebas Malaysiakini melaporkan yang ketiga-tiga parti komponen PR – PKR, DAP dan Pas – berminat bertanding kerusi Bukit Selambau.

Ini tidak memeranjatkan kerana kerusi ini mempunyai komposisi kaum yang agak seimbang – Melayu 50.2%, Cina 19.3%, India 29.5% dan kaum-kaum lain 1%.

Sebenarnya ketiga-tiga parti itu berhak meletakkan calon di situ kerana Bukit Selambau tidak ditandingi oleh mana-mana parti PR pada PRU lalu.

V Arumugam bertanding sebagai calon bebas dan selepas menang baru menyertai PKR. Dia mengalahkan calon Barisan Nasional, S Krishnan dengan kelebihan 2,362 undi. Dia memperoleh 13,225 undi dan Krishnan 10,863 undi.

Parti-parti BN juga pasti melakukan lobi terbuka dan belakang tabir bagi meletakkan calon masing-masing di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Pemimpin tempatan Umno telah pun menyatakan harapan agar parti itu diberi peluang mewakili BN.

Pilihan raya kecil Bukit Selambau juga menghidupkan semula persoalan mengenai kaitan antara PKR dan pertubuhan haram Hindraf.

Tiga aktivis pertubuhan itu yang sedang dalam tahanan, iaitu M Manoharan, R Kengadharan and V Ganabatirau telah mencadangkan rakan setahanan mereka, P Vasanthakumar sebagai calon PKR bagi Bukit Selambau.

Ketua de facto PKR, Anwar Ibrahim mengakui hal ini apabila dia dipetik oleh Malaysikini sebagai berkata, dia akan menyerahkan nama Vasanthakumar kepada pasukan penilaian calon parti itu untuk pertimbangan.

Bagi BN, pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau tidak memihak kepadanya. Perkembangan di Perak dan kehilangan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil bulan lalu tidak membantu mencerahkan harapan BN.

Apatah lagi calon Pas dan calon bebas (PKR) menang dengan kelebihan suara yang besar dalam pilihan raya umum 2008.

Namun ada pemerhati berpendapat harapan BN di Bukit Gantang mungkin lebih cerah berbanding dalam pilihan raya umum 2008 jika BN berjaya memilih calon tempatan yang diterima ramai.

Mereka juga melihat dua pilihan raya kecil ini sebagai penting kepada Umno dan BN kerana berlaku ketika peralihan kuasa daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Mohd Najib Abdul Razak pada akhir bulan depan.

No comments:

Post a Comment