Thursday, February 5, 2009

KEMELUT DUN PERAK : SIAPA SINGA DAN SIAPA MANGSANYA

Rakyat Malaysia sedang menyaksikan satu babak politik kuasa yang cukup menarik di Dewan Undangan Negeri Perak. Tiga ADUN Pakatan Rakyat (PR) sudah meninggalkan parti masing-masing dan memilih jadi anggota bebas. Seorang ADUN BN yang baru-baru ini melompat ke PR sudah kembali semula kepada BN. Akibatnya, kedudukan kerusi dalam DUN Perak kini adalah 28 PR, 28 Barisan Nasional (BN) dan 3 bebas.

Oleh itu, siapakah yang menguasai DUN Perak pada ketika ini? Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menganggap dirinya masih lagi Menteri Besar, telah mengadap Sultan Perak dan memohon perkenan untuk membubarkan DUN Perak dengan serta merta. Beliau yakin bahawa sebarang keputusan oleh Sultan Perak akan dibuat secara adil.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku pengerusi BN pula berkata bahawa BN kini bersedia untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak kerana empat ADUN yang telah meninggalkan parti masing-masing dikatakan akan menyokong BN.

Dinamisme politik di atas membuktikan bahawa PR dan BN seolah-olah terlupa akan beberapa masalah teknikal, dan mungkin juga masalah perlembagaan, yang melingkari kemelut berkenaan.

Antara masalahnya adalah: bolehkah DUN Perak dibubarkan jika kedudukan PR dan BN adalah seri, sementara tiga ADUN bebas pula dijangka melompat ke BN untuk membolehkan BN memperolehi majoriti mudah dan menguasai Kerajaan Negeri Perak? Satu lagi masalah: adakah tiga ADUN PR yang sudah menandatangani surat perletakan jawatan sebagai ADUN masih boleh dianggap sebagai ADUN? Atau, adakah surat perletakan jawatan itu sah di sini undang-undang dan akan diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya?

Bagaimanapun, BN dan PR wajar insaf bahawa politik kuasa adalah politik mengenai survival, adalah politik mengenai keselamatan, adalah politik mengenai kepentingan, adalah politik untuk mengekalkan kuasa politik. Jadi, inilah masanya untuk BN dan PR megaplikasikan doktrin politik kuasa Machiavelli. BN dan PR mestilah calculative, decisive dan exploitative. BN dan PR mestilah tangkas dan pantas. BN dan PR mestilah pintar menyambar peluang secara berkesan dan bijaksana. BN dan PR perlulah prokatif dan pre-emtif dalam keputusan dan tindakannya. BN dan PR wajar bertindak seperti seekor singa yang sentiasa mementingkan survival dirinya.

Jadi, jika BN dan PR itu umpama singa dalam andaian Machiavelli, maka perlulah BN dan PR menerkam mangsanya dengan terkaman maut. Kalau mangsa yang diterkam masih terus bernyawa, ini bermakna singa itu tidak calculative dan tidak tangkas. Ini kerana dalam proses menentukan survival, Machiavelli mengharapkan singa itu bertindak kejam, sekiranya perlu.

Dalam menentukan survival, Michiavelli juga mengizinkan singa itu mengenepikan nilai moral peribadi, jika terpaksa. Dalam politik kuasa, kata Machiavelli, nilai moral peribadi tidak relevan untuk diaplikasikan. Dalam menentukan survivalnya juga, singa tidak digalakkan untuk membangkitkan soal keadilan.

Dan jangan lupa. Machiavelli juga mengatakan, dalam menentukan survival diri, singa itu perlu juga memiliki tabii rubah yang licik. Jika perlu berbohong demi kepentingan ramai, lakukanlah secara honourable.

Apa yang dihuraikan di atas hanya gagasan Machiavelli yang hidup di era Greek kuno. Mungkin doktrin kuasa Machiavelli ini tidak relevan pada hari ini. Tetapi, bagaimana agaknya jika BN dan PR juga menggunakan doktrin ini untuk mengatasi kemelut yang sedang dihadapi di Perak? Tetapi, kalaulah PR Perak faham akan doktrin ini, pastinya Nizar tidak mengharapkan keadilan daripada mana-mana pihak!

Dengan itu, sama-samalah kita tunggu. Siapa agaknya yang akan jadi singa dan siapa pula yang akan jadi mangsa kepada singa dalam konteks gagasan Machiavelli ini. Mungkinkah PR akan berjaya membubarkan DUN Perak? Mungkinkah Nizar dan Exconya menerima realiti politik kuasa dan sedia mengosongkan kerusi masing-masing dalam Kerajaan Negeri Perak? Mungkinkah BN akan berkuasa semula di Perak? Dan, oleh kerana sudah ada dua tiga ADUN BN yang berangan-angan hendak jadi MP Perak yang baru, siapakah dianya? – Ruhanie Ahmad

No comments:

Post a Comment