Tuesday, February 10, 2009

Isu Perak - Bacaan Politik Cikgu Pa Betul

Ketika Anwar Ibrahim mewarwarkan pengambilalihan Kerajaan Pusat yang disasarkan 16 Februari 2008 yang lalu, Mustafa Ali (Cikgu Pa) adalah antara tokoh politik yang mengambil langkah tidak popular. Cikgu Pa menyatakan pembentukan itu tidak mungkin berlaku kerana tidak mungkin MP akan menyeberang dari sebuah parti yang sedang memerintah. Tindakan melawan arus ini sesuatu yang hampir tidak mungkin berlaku berdasarkan sejarah politik Malaysia. Sebaliknya yang selalu berlaku ialah penyeberangan ahli MP atau ADUN kepada parti pemerintah. Beliau cuba memberi gamabaran realistik bahawa tindakan Anwar itu sesuatu yang sukar berdasarkan iklim politik Malaysia.

Telahan Cikgu Pa ini telah dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk mereka yang rapat dengan Cikgu Pa sendiri. Mereka menganggap Cikgu Pa tidak berkongsi semangat untuk menjatuhkan pemerintahan BN sehingga memperkecilkan usaha merampas kuasa secara melompat parti. Bukan sekadar itu, Tuan Guru Mursyidul Am juga menempelak kenyataan Cikgu Pa yang dianggap tidak menyokong agenda PR. Kesemua pertikaian ini menyebabkan akhirnya pandangan Cikgu Pa terpinggir, malah beliau kelihatan berada di pihak yang salah. Bagi menjernihkan suasana beliau memohon kemaafan daripada Tuan Guru Mursyidul Am.

Cikgu Pa juga tidak begitu menggemari dan 'excited' dengan amalan melompat parti seperti yang cuba dilakukan oleh Anwar kerana tindakan itu tidak melalui jalan demokrasi. Anwar memberi jaminan bahawa selepas PR mengambil alih, Pilihanraya Umum akan diadakan dalam tempoh yang terdekat untuk mendapatkan mandat daripada rakyat. Dalam kes ADUN Bota melompat parti ke PKR, sekali lagi Cikgu Pa begitu konsisten untuk tidak bersetuju dengan amalan ini dengan menyatakan bahawa PAS akan menyokong sekiranya diwujudkan Akta Melompat Parti tetapi dengan syarat MP atau ADUN yang melompat parti itu diberikan hak untuk bertanding semula.

Pandangan Cikgu Pa inipun mungkin tidak menyenangkan para penyokong PR kerana dibuat dalam keadaan ada khabar-khabar angin bahawa ada ADUN BN yang akan melompat ke PR. Sebagaimana dalam peristiwa 16 September ini, sikap Cikgu Pa dalam berpolitik ialah tidak begitu ghairah untuk menyatakan bahawa UMNO lemah dan bodoh. Telahan bahawa Kerajaan BN di peringkat pusat akan tumbang hanya dengan melompat parti adalah sangat simplistik. BN di peringkat pusat mempunyai segala kekuatan termasuk bantuan perisikan dan kewangan. PR tidak boleh semudah itu bertindak, kerana dengan kekuatan yang ada pada BN boleh menyebabkan serangan balas secara mengejut.

Sepatutnya inilah yang diperhatikan oleh PKR, DAP dan sebahagian pimpinan junior PAS. Sikap terlalu ghairah untuk menarik MP dan ADUN BN untuk melompat parti akhirnya telah memakan diri. Bila mana ADUN Bota menyeberang kepada PR maka kesemua mereka semakin yakin strategi 16 September boleh dicapai dalam tempoh yang terdekat. Bagaimanapun keghairahan ini telah menyebabkan mereka alpa sehingga tidak menyedari bahawa ADUN Bota itu sekadar umpan. Hari ini terbukti bahawa keghairahan untuk mendukung amalan melompat parti ini akhirnya memakan diri. BN dan UMNO tidaklah selemah dan sebodoh yang mereka sangka, sebagaimana yang diperingatkan oleh Cikgu Pa.

Cikgu Pa bukanlah seorang ahli politik yang berkepentingan. Beliau telah menyertai kabinet Malaysia ketika usianya masih terlalu muda. Beliau telah melalui pengalaman yang sangat berharga menghadapi segala tipu helah UMNO dan BN. Beliau pernah jatuh bangun dalam politik sehinggalah yang terakhir mengambil keputusan untuk tidak mahu lagi bertanding jawatan tertinggi PAS untuk memberi laluan kepada generasi muda. Bagaimanapun pengalaman politiknya begitu berharga. Beliau bukanlah ahli politik yang telah tamat tempoh seperti yang didakwa. Dalam hal tertentu pandangan politiknya lebih tajam termasuklah berbanding dengan Anwar sendiri.

No comments:

Post a Comment