Sunday, February 15, 2009

BERTUAHNYA RAKYAT PERAK PUNYAI INSAN BERNAMA NIZAR


Kesan daripada krisis politik yang baru berlaku di Perak, hikmahnya semua rakyat Malaysia menunjukkan ketaatan secara mutlak kepada Raja dan Sultan. Semua parti lebih-lebih lagi Umno hampir setiap hari menjalankan usaha untuk menunjukkan sokongan ketaatan tidak berbelah bahagi kepada Sultan. Parti Pembangkang juga bersikap sedemikian secara zahirnya mereka turut mengakui ketaatan kepada Sultan. Begitulah hebatnya negara Tanah Melayu ini yang mungkin satu-satunya negara yang amat menyanjungi institusi kesultanan.

Apa yang lebih mengharu dan memilukan kita bila mana YAB Nizar MB Perak telah sanggup mengenepikan kepentingan diri dan politiknya di dalam mengambil tindakan mahkamah bagi mendapatkan haknya sebagai MB Perak semula. Di dalam samannya terhadap `MB Perak’ yang baru diperkenankan oleh Sultan Perak, nama Sultan Perak langsung tidak dikaitkan. Ini bukti menunjukkan Pakatan Rakyat khususnya YAB Nizar tidak sanggup mencemar nama baik lebih-lebih lagi menunjukkan penentangan dan kedurhakaan kepada Tuanku Sultan Perak. Cuma, Umno yang kononnya dilihat sebagai wira pihak istana ini cuba untuk `menjerat’ pemimpin PR agar terus mengikut tari dan rentak mereka. Hakikatnya, umum megetahui sehingga sekarang Umno tidak pernah memohon ampun dan maaf kepada pihak istana setelah Umno sendiri mengusahakan pindaan perlembagaan menghapuskan imuniti Raja-Raja pada tahun 1993. Pernahkan Umno memohon maaf kepada Sultan Kelantan setelah Umno memainkan peranan apabila menabalkan Sultan Kelantan yang baru suatu ketika dahulu ? Bilakah UMNO khususnya di Terengganu memohon maaf di atas ketelanjurannya menghina Sultan Terengganu ketika isu perlantikan MB Terengganu selepas Pilihanraya Umum ke 12 baru-baru ini? Tidakkah sepanduk yang tertera perkataan `Natang’ tidak mendurhakai Sultan ?

Di saat semua rakyat berbalah dan berdebat untuk mempertahankan institusi kesultanan, rakyat lupa kepada seorang tua yang kini mendiamkan diri kerana beliau faham ini semua berlaku adalah akibat dari kesan `tangan-tangan’nya yang kotor ketika beliau berkuasa dahulu. Orang tua ini suatu ketika pernah digelar Wira Dunia Ketiga tetapi beliau tetap dikenang sebagai perosak institusi beraja dan juga perosak kestabilan politik negara ini. Kehangatan politik negara tercetus apabila orang tua ini menggunakan kuasanya ketika itu menfitnah dan menghina tokoh politik yang disanjung oleh Orang Melayu iaitu DS Anwar. Akibat dari tangannya yang `kotor dan jijik’ itu menyebaban pewaris yang mengambil alih kekuasannya tidak mampu mengubati `penyakit’ yang dibawa olehnya sehingga sekarang. Beliau berjaya merosakkan Umno kemudian beliau lari dari Umno. Beliau berjaya merosakkan kuasa Raja-Raja kemudian beliau menyepikan diri ketika isu terhadap Sultan mula diperkatakan orang. Saya cukup yakin, anak beliau akan menjadi mangsa hasil dari tangan-tangan beliau. Tidak mungkin Pemuda Umno mahukan pewaris perosak politik dan Institusi Raja ini menjadi pemimpin mereka.

Berbalik kepada tindakan yang dilakukan oleh YAB Nizar, beliau telah menyelamatkan dua keadaan ketika beliau dianiayai. Pertama, beliau telah menyelamatkan nama dan imej Sultan daripada terseret ke Mahkamah walaupun undang-undang membenarkan jika beliau ingin berbuat demikian. YAB Nizar masih perlukan Sultan dan beliau tidak sanggup mencemar nama baik Sultan yang amat dikasihinya itu meskipun terpaksa berkorban maruah diri dan partinya sendiri. Kedua, beliau juga tidak sanggup mengkhianati amanah rakyat yang mahukan beliau sebagai pemimpin di Perak. Justeru itu, beliau tidak sedikit melakukan pengorbanan dan bukan tiada risiko besar yang mungkin beliau hadapi ketika membawa kes ini ke Mahkamah. Namun, YAB Nizar rela melakukan apa jua asalkan amanah rakyat terpelihara dan didaulatkan. Seandainya Mahkamah menentukan keputusan yang tidak menyebelahi kehendak rakyat, YAB Nizar mungkin terlepas dari tanggungjawabnya sebagai pemegang amanah ini kerana beliau telahpun berusaha sedaya upaya. Semoga Allah memberkati perjuangan yang amat berat yang sedang dipikul oleh YAB Nizar.

Sekiranya ingin ditangisi, tidak cukup bumi perak ini dibanjiri air mata oleh kesedihan rakyat Perak ketika bumi mereka terjajah oleh bangsanya sendiri. Tetapi Allah tidak mengajar manusia untuk menangis sekiranya menghadapi kesusahan atau penderitaan. Allah mengajar setiap manusia agar berusaha, berdoa dan bertawakkal kepadanya nescaya bantuan Allah akan tiba. Kepada manusia yang telah merasakan diri mereka bijak di dalam merampas hak dan kuasa rakyat, mereka tidak akan senang di dalam kehidupannya di dunia apatah lagi di Akhirat selagi mereka menyuapkan rezeki ke mulut mereka dan anak-anak mereka dari hasil `air mata’ rakyat.

1 comment:

  1. nizam_9090@yahoo.comFebruary 17, 2009 at 7:22 PM

    insyallah mereka yang buat perkara baik akan di rahmati allah dan sebaliknya.

    allah alan tunjukkan jalan yag baik dan benar di semua bukit2 yang di rasakannya kurang menepati kehendak yang maha esa..

    fikir-fikirkan la yoeb

    ReplyDelete